Niat Ketika Memulakan Pekerjaan
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Pengasih
Niat merupakan landasan moral bagi sebuah perbuatan, kerana niat akan menentukan "nilai" baik atau buruk dan diterima atau tidaknya sesuatu perbuatan. Niat merupakan dasar dan bentuk bagi sebuah perbuatan, di mana perbuatan itu sendiri adalah juga isi daripada sebuah niat. Paduan antara nilai dan perbuatan sebagai perlaksanaannya menghasilkan sesuatu yang disebut moral / akhlak.
"Sesungguhnya segala perbuatan itu disertai niat. Dan seseorang itu diberi ganjaran sesuai dengan niatnya." Riwayat Bukhari Muslim.
Pesan Rasulullah ini menunjukkan apa pun pekerjaan itu, baik solat, bekerja di kilang atau bekerja sebagai penghantar surat, jika tidak dilakukan dengan serius akan menghasilkan hasil yang buruk malah tidak bermanfaat, mungkin juga tidak berhasil. Pekerja mesti bekerja dengan profesional dan bertanggung jawab sepanjang masa. Niat bekerja bukan sekadar ingin dipamerkan kepada pegawai atasan tetapi mesti lebih jauh daripada itu. Pekerjaan kita memberikan kesan kepuasan yang luar biasa terhadap jiwa kerana roh kita bergantung kepada Allah yang telah memberikan jalan rezeki. Berbeza dengan pekerjaan yang dilakukan kerana ingin dilihat orang lain, rasa bahagia itu tidak mampumenusuk ke dalam batin. Malahan kita akan sangat bergantung kepada orang lain sehingga kita dikendalikan oleh kemahuan nafsu yang dangkal. Rohani kita kering dan mudah cemas, kerana orang lain tidak tahu kemahuan batin kita secara utuh. Biarkan setiap pekerjaan yang kita lakukan adalah kerana Allah. Al-Khaliq yang arif tentang penciptaan diri kita, menetapkan kebahagiaan pada siapa yang dikehendakinya.
Orang yang tidak mempunyai niat yang betul semasa bekerja tidak akan bekerja dengan baik. Orang itu tidak akan mempunyai komitmen terhadap kerja yang dilakukannya. Ramai orang yang bekerja tetapi tidak faham atau mengerti kenapa mereka bekerja selain daripada ingin menyara hidup. Persepsi seorang pekerja itu terhadap kerjanya boeh disimpulkan dalam sebuah kisah pendek mengenai tiga orang pekerja alam sekitar. Ketika tiga orang ini ditanya:
"Apakah yang sedang kamu lakukan?"
Jawapan mereka:
Pekerja A menjawab: "Saya ingin mencari sesuap rezeki buat anak dan isteri saya"
Pekerja B pula menjawab: "Saya sedang menyapu sampah di sekeliling taman"
Pekerja C berkata: "Saya sedang memastikan kebersihan bandar yang indah dan permai"
Antara tiga pekerja alam sekitar ini, siapakah yang paling berminat dan komited terhadap kerjanya? Pastilah pekerja C. Pekerja C ini lebih memahami tujuan kerjanya itu dan lebih komited terhadap apa yang dilakukannya. Seseorang yang ingin bekerja dengan baik mestilah bekerja dengan niat yang ikhlas tidak kerana riak, menunjuk-nunjuk, kerana terpaksa atau kerana tujuan yang lain. kerja atau amalan yang kita lakukan bukan kerana niat yang betul akan mengurangkan kualiti kerja yang dilakukan